KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang memaklumkan beliau sendiri tidak tahu apakah sebab keahliannya digantung dalam Bersatu.
Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, persoalan tersebut perlu dikemukakan kepada Presiden parti itu sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sejujurnya saya pun tak tahu kenapa saya digantung, kena tanya Pagoh (Muhyiddin) nanti, kalau dia masuk.
“Tapi, komitmen saya tak berbelah bahagi untuk Perikatan Nasional (PN) dan rakyat Kelantan dan rakyat Machang,” katanya.
Wan Ahmad Fayshal berkata demikian ketika menjawab soalan RNS Rayer (DAP-Jelutong) ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sebelum itu, Rayer bangkit mempersoalkan mengapa Bersatu mengambil keputusan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayshal yang disifatkan sebagai wakil rakyat muda berbakat yang boleh berhujah dengan berasas.
“Saya dukacita kenapa kalau kita dah berhemah dan memberi penghujahan dalam perbahasan dengan nas-nas yang berasas, digantung keahlian.
“Tiada pun pihak Bersatu yang hadir untuk mendengar, saya hadir mendengar,” katanya. – KOSMO!ONLINE