PETALING JAYA – Sebahagian pelajar dipercayai tidak hadir ke sekolah hari ini kerana masih trauma berikutan insiden tragis yang mengorbankan seorang pelajar perempuan sekolah menengah di Bandar Baharu di sini.
Seorang pelajar tingkatan tiga yang ditemui selepas sesi persekolahan tamat berkata, ramai rakan sekelasnya tidak hadir ke sekolah kerana masih trauma dengan kejadian, semalam.
“Dalam kelas saya hari ini cuma empat orang yang hadir. Semua pelajar yang datang diberi sesi kaunseling dan ditempatkan dalam dewan khas,” katanya.
Seorang bekas pelajar sekolah berkenaan berkata, dia terpanggil untuk datang ke kawasan sekolah itu selepas mengetahui insiden berkenaan melalui laporan berita.
“Banyak kenangan saya di sekolah. Saya tak sangka perkara ini berlaku di tempat yang saya rasa paling seronok dahulu. Banyak benda sudah berubah sekarang,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang bapa kepada pelajar tingkatan empat berkata, tiada sebarang kejadian jenayah berlaku di sekolah berkenaan sebelum ini.
“Sebagai bapa mestilah saya risau apabila berlaku kejadian seperti ini dan ia juga kali pertama berlaku. Sebelum ini saya tidak pernah dengar sebarang kejadian termasuk pergaduhan biarpun pelajar di sini bercampur (bangsa),” jelasnya.
Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati suasana persekolahan agak sepi dan lengang tidak seperti hari biasa selepas tamat sesi persekolahan.
Bagaimanapun, keadaan sekitar dilihat terkawal dengan pengawasan petugas keselamatan sekolah serta unit kereta peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi. – KOSMO! ONLINE