SEBERANG PERAI – Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 12 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM405,121.
Tertuduh, Mohd. Noor Yacub, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM405,121 milik Amar Iman Development Sdn. Bhd. dengan cara memasukkan 12 cek ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.
Semua kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Plaza MWE di Lebuh Farquhar, dalam Daerah Timur Laut dalam tempoh 19 Januari hingga 21 Oktober 2015.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee memohon mahkamah mengenakan jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Amirrul Adli yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan masih perlu menanggung isteri selain kini bergantung kepada bantuan kewangan anak-anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin, serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri kepada ibu pejabat SPRM Pulau Pinang sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 19 November depan. – KOSMO! ONLINE