AKSES ilmu dan bahan bacaan terus diperkukuhkan agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat menerusi dua inisiatif utama iaitu perpustakaan desa dan perpustakaan komuniti.
Usaha dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini adalah langkah mendekatkan perpustakaan dengan rakyat, malah kedua-dua inisiatif itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan perpustakaan bukan sekadar tempat penyimpanan buku.
Ini termasuk sebagai pusat interaksi sosial, pendidikan dan pembangunan komuniti yang menyokong pembentukan masyarakat berpengetahuan, berdaya fikir kritis dan berdaya saing.
Melalui pendekatan perpustakaan desa, ia menjadi tunjang penting dalam memperkasa budaya membaca di kawasan luar bandar, dengan 506 perpustakaan desa kini beroperasi di seluruh negara.
Pelbagai perkhidmatan disediakan seperti pinjaman dan pemulangan bahan bacaan, akses digital melalui kemudahan komputer, internet, Wi-Fi serta platform u-Pustaka.
Selain itu, perpustakaan desa turut menjadi pusat pelaksanaan aktiviti literasi dan pendidikan seperti kelas ICT asas, bimbingan pembelajaran dan sokongan kepada pelaksanaan PdPR.
Perpustakaan desa juga berfungsi sebagai ruang komuniti setempat untuk mesyuarat, rujukan, aktiviti belia dan wanita serta penganjuran program kebudayaan dan sosial seperti pameran mini dan bengkel kraftangan.
Dalam tempoh lima tahun terkini (2021–2025), PNM telah menghantar bahan bacaan secara berperingkat ke perpustakaan desa di seluruh negara, melibatkan 886 judul dengan jumlah keseluruhan 361,123 naskhah dan kos perolehan sebanyak RM7.93 juta.
Ia sekali gus memastikan koleksi bahan bacaan di peringkat akar umbi sentiasa segar, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat.
Usaha mengukuhkan jaringan literasi di kawasan bandar turut diperkukuhkan apabila PNM memperkenalkan perpustakaan komuniti sebagai inisiatif baharu bagi mendekatkan buku dengan masyarakat setempat.
Terdapat empat perpustakaan komuniti beroperasi sehingga kini di seluruh negara iaitu Perpustakaan Komuniti Mahkota Cheras, Perpustakaan Komuniti AEON AU2 Setiawangsa, Perpustakaan Komuniti Bukit Damansara dan Perpustakaan Komuniti Buku2@RADIA Bukit Jelutong.
Setiap perpustakaan komuniti ini berperanan sebagai hab ilmu moden yang menyediakan ruang membaca kondusif, kemudahan mesra keluarga serta pelbagai aktiviti literasi dan bengkel ilmu.
Malah ia menawarkan keahlian percuma yang turut menggalakkan lebih ramai masyarakat menjadikannya sebagai ruang pembelajaran sepanjang hayat dan tempat berinteraksi secara harmoni tanpa mengira latar belakang.
Usaha ini memperkukuh jaringan perpustakaan di seluruh negara ini bukan sekadar memperluas akses kepada buku dan ilmu, tetapi juga membina asas perpaduan melalui pembelajaran bersama.
“Perpustakaan adalah jantung kepada masyarakat berpengetahuan. Apabila rakyat mudah mendapat akses kepada ilmu, mereka bukan sahaja menjadi lebih berilmu tetapi juga lebih terbuka dan berempati.
“Inilah nilai perpaduan yang kita mahu semai iaitu perpaduan melalui ilmu,” katanya.
Kementerian akan terus menyokong inisiatif PNM dalam memperluas capaian bahan bacaan fizikal dan digital agar rakyat di bandar dan luar bandar dapat menikmati manfaat yang seimbang.
Katanya, melalui pendekatan holistik dan inklusif ini, perpustakaan muncul sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja menambah ilmu, tetapi turut memperkukuh jalinan sosial, kreativiti serta nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.