KLANG – Perbuatan kejam seorang pemuda membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam berbalas selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Norliza Othman menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, membuat pengakuan bersalah tanpa syarat sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sebaik dijatuhi hukuman, bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang berpakaian hitam tersebut dilihat sugul.
Muhammad Fakrul turut mengakui semua fakta kes dan 112 eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada prosiding tersebut.
Norliza dalam penghakimannya menegaskan perbuatan tertuduh membunuh mangsa merupakan satu jenayah yang dirancang, kejam dan sadis.
“Dalam kes ini, bukan saja mangsa dan kandungan bayi berusia 18 minggu mati, malah berlakunya elemen kecederaan.
“Selain kesan tikaman di dada dan leher dihiris, perut mangsa dibelah untuk mengeluarkan janin sebelum mayat itu disimbah pula dengan minyak petrol.
“Ia suatu perubatan yang tidak dapat diterima. Hanya satu hukuman iaitu gantung di leher sehingga mati,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa membunuh mangsa berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar pada pukul 8.30 malam, 22 Mei hingga pukul 8 pagi, 23 Mei 2023. – KOSMO! ONLINE