KUALA LANGAT – Alat perakam badan (BWC) akan digunakan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi operasi khususnya berisiko tinggi.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini bagi memastikan tahap keselamatan anggota JPJ yang bertugas dan menyimpan segala bukti sekiranya berlaku apa-apa pertikaian ketika melaksanakan operasi.
Katanya, pengagihan dan pemakaian 100 unit BWC itu akan dilakukan secara berperingkat kepada setiap negeri.
“Pada hari (malam tadi) bermulalah operasi JPJ menggunakan BWC. Ia akan diletakkan terlebih dahulu di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya kerana kita juga terlibat dalam operasi-operasi khas bersama dengan negeri.
“Dalam masa sama, lebih separuh perolehan 100 unit diagihkan kepada negeri-negeri termasuk digunakan bagi operasi berisiko tinggi,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting di sini malam tadi.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan sebanyak 100 unit BWC akan digunakan pegawai penguat kuasa JPJ, melibatkan ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta bagi fasa pertama.
Langkah itu bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan dan meningkatkan integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tomahan serta tuduhan tidak berasas ketika menjalankan tugas.
Dalam pada itu, Aedy Fadly memaklumkan kerajaan juga telah bersetuju perolehan 60 senjata api baharu pada tahun ini untuk JPJ bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika bertugas di lapangan.
“Ini apabila kerajaan lihat bahawa tugas-tugas anggota JPJ di lapangan ini berisiko tinggi.
“Perolehan 60 pistol baharu itu pada tahun ini dan kita sebelum ini telah mempunyai lebih 400 senjata di seluruh negara” katanya. – KOSMO! ONLINE