KUALA LANGAT – Pengendali kenderaan perdagangan yang masih berdegil membawa lebih muatan akan dikenakan tindakan tegas termasuk pelucutan hak dan pembatalan lesen.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi selama tiga bulan itu bermula semalam sehingga 31 Disember ini dilaksanakan bagi memastikan aspek pematuhan had muatan dipatuhi.
“Saya mengingatkan pengendali kenderaan perdagangan di seluruh negara bahawa JPJ akan cari, periksa kesemua kenderaan perdagangan yang berada di jalan raya, keluarkan notis untuk timbang.
“Jika lebih berat muatan, kita akan ambil tindakan sama ada kompaun, saman atau kes ke mahkamah sehingga lucut hak dan pembatalan lesen pengendali syarikat tersebut,” katanya pada sidang akhbar Ops Khas JPJ di Stesen Penguatkuasa Banting di sini hari ini.
Katanya, langkah itu akan dilaksanakan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi penyaluran maklumat berkaitan kesalahan dilakukan kenderaan berat itu sehingga kes dibawa kepada mahkamah.
Pemeriksaan turut dilaksanakan ke atas semua kenderaan perdagangan lain termasuk bas persiaran dan ekspres.
“Kita mulakan hari ini (malam tadi) selepas beberapa jam diarahkan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook),” katanya.
Dalam operasi bermula pada pukul 8 malam tadi, sebanyak 278 buah kenderaan diperiksa dan tiga kenderaan masing-masing sebuah lori dan dua buah kereta disita kerana tiada perlindungan insurans dan cukai jalan.
“Sebanyak 25 kenderaan diperiksa dan dikenakan notis larangan penggunaan kenderaan, manakala 23 kenderaan didapati tiada peranti had laju,” katanya. – KOSMO! ONLINE