fbpx
Aedy Fadly pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Banting malam tadi. FOTO AFIQ RAZALI

Pematuhan pasang alat had laju melonjak tujuh kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Kesedaran dalam kalangan pengusaha kenderaan perdagangan mengenai pemasangan dan pengesahan Peranti Had Kelajuan (SLD) melonjak hampir tujuh kali ganda sejak penguatkuasaan fasa pertama bermula 1 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini merupakan perkembangan positif terhadap pematuhan arahan tersebut  memastikan keselamatan di jalan raya.

Katanya, sebanyak 4,012 notis dikeluarkan terhadap kenderaan yang belum mempunyai SLD.

“Namun, dalam tempoh 10 hari operasi dijalankan, jumlah kenderaan yang membuat pengesahan SLD meningkat mendadak daripada 3,000 kepada 20,000 buah. Jadi, kesedaran itu saya lihat meningkat secara mendadak,” katanya pada sidang akhbar Ops Khas di Stesen Penguatkuasa Banting di sini, malam tadi.

Menurut Aedy, peningkatan itu hasil hebahan dan advokasi berterusan JPJ selain operasi SLD digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara.

Katanya, pemasangan dan fungsi sepenuhnya SLD diwajibkan kepada kenderaan perdagangan bagi tahun keluaran 2015 dan ke atas.

Dalam perkembangan lain, Aedy berkata, pihaknya akan memperhebatkan rondaan dan pemantauan sempena musim perayaan Deepavali.

Langkah itu penting kerana bilangan kenderaan dijangka meningkat susulan cuti perayaan yang berjalan serentak dengan cuti sekolah bermula 18 hingga 22 Oktober ini.

Aedy berkata, arahan itu akan dikeluarkan kepada semua JPJ negeri untuk melakukan rondaan secara berterusan dalam usaha mengatasi kesesakan dan kemalangan sepanjang musim perayaan.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan kira-kira 2.67 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama pada hari puncak sambutan Deepavali 20 Oktober ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diikuti Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (170,000), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (90,000), LPT Fasa 2 (40,000) dan Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (170,000). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN