fbpx
Muhammad Suhaimi (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas menghadapi dua pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Pegawai agama didakwa salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang pegawai agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM30,800 berkaitan dua program keagamaan, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Suhaimi Salleh, 59, yang bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu ketika itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu pada 23 Januari 2024.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan sebanyak RM11,000 dengan meluluskan pesanan kerajaan bagi program Gerakan Tumpuan Dakwah Sempena Israk Mikraj di sebuah masjid dalam daerah Kubang Pasu walaupun mengetahui program dan pembekalan tersebut tidak dilakukan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sama bagi mendapatkan suapan sebanyak RM19,800 selepas meluluskan pesanan kerajaan bagi Majlis Haflah Atfal Tadika Islam Peringkat Daerah Kubang Pasu, yang mana dia mempunyai kepentingan secara langsung.

Pertuduhan itu turut dikemukakan mengikut Seksyen 23 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta tersebut dengan hukuman sama seperti pertuduhan pertama.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dan kes akan disebut semula pada 27 November depan.

Terdahulu, Muhammad Suhaimi yang diwakili oleh peguam Ahmad Muzambir Abdul Razak memohon hakim meringankan wang jaminan yang ditetapkan dengan alasan masalah kesihatan yang dialaminya selain kes tersebut melibatkan jumlah yang kecil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI