fbpx
Mohamed Khaled pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, di Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Pasukan pengaman Gaza: Malaysia bersedia dengan satu batalion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia bersedia menghantar satu batalion pasukan pengaman ke Gaza jika mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesiapsiagaan itu sudah dimaklumkan sejak awal melalui penyertaan Malaysia dalam mesyuarat menteri-menteri pertahanan negara yang mempunyai pasukan pengaman di bawah naungan PBB.

“Malaysia bersedia menghantar pasukan pendamai ke Gaza. Kita memang dah dapat satu batalion. Masa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang ada pasukan pengaman dan kita bersedia,” katanya selepas Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia bukan sahaja telah bersedia dari segi sumber manusia dan logistik, tetapi juga mempunyai hasrat yang tulus untuk menyumbang kepada keamanan serta bantuan kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

“Memang kita niat pun nak berada, nak bantu di sana. Tapi kita tunggu kepada keputusan PBB dan Majlis Keselamatan PBB untuk buat keputusan.

“Kalau dia kata Malaysia dipilih untuk menghantar, kita bersedia dengan satu batalion,” katanya.

Ketika ditanya adakah batalion yang telah bersedia itu merupakan pasukan yang sama ke Lubnan, Mohamed Khaled berkata, pasukan yang akan dihantar bukan daripada kontinjen yang sedang bertugas di luar negara ketika ini.

“Batalion yang kita siapkan bukan yang sedang berkhidmat di (Lubnan). Setiap tahun kita panggil mereka balik dan ini (pasukan pengaman ke Gaza) adalah batalion lain,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza sekiranya PBB memutuskan untuk menubuhkan misi antarabangsa bagi mengurangkan ketegangan dan membantu rakyat Palestin.

Anwar berkata, perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

“Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada saja pasukan pendamai, kita akan kirim.

“Saya setuju pasukan pendamai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI