PRAIA – Cape Verde muncul sebagai negara yang memiliki populasi kedua terkecil di dunia yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia, tahun depan.
Cape Verde yang juga negara berpopulasi terkecil di benua Afrika dengan 550,000 penduduk mengesahkan tempat ke Piala Dunia buat kali pertama selepas menang 3-0 ke atas Eswatini, awal pagi semalam.
Sejurus mengesahkan kemenangan, kejayaan ini disambut dengan penuh meriah oleh segenap negara di mana tahun ini juga Cape Verde menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 50 pada 5 Julai lalu.
“Ini adalah detik yang cukup istimewa buat kami yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 50 tahun ini. Pastinya kejayaan ini adalah untuk seluruh rakyat Cape Verde,” kata pengendali Cape Verde, Bubista.
Sebelum ini, Iceland yang memiliki 350,000 penduduk muncul negara yang memiliki populasi terkecil dunia yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.
Tiga mata itu menyaksikan Cape Verde muncul juara Kumpulan D dengan 23 mata, hasil tujuh kemenangan dan dua kali seri sekali gus mengatasi pasukan lebih terkenal, Cameroon di tangga kedua dengan 19 mata.
“Ini masanya untuk kami raikan kejayaan. Ini juga adalah impian saya sejak daripada kecil,” kata penjaga gol Cape Verde, Vozinha. – AGENSI