MADRID – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez terpaksa menjalani pembedahan bahu kanan selepas kecederaan yang dialaminya pada Grand Prix (GP) Indonesia minggu lalu gagal menunjukkan tanda pemulihan.
Pelumba Ducati itu terbabit dalam insiden pada pusingan pertama di selekoh ketujuh apabila dilanggar dari belakang oleh pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi hingga menyebabkan retak pada tulang bahu dan kerosakan ligamen.
Awalnya, pemeriksaan di Madrid selepas perlumbaan Mandalika menunjukkan pembedahan tidak diperlukan, namun keadaan berubah selepas penilaian semula mendapati kecederaan itu tidak stabil meskipun selepas seminggu berehat.
Ducati dalam satu kenyataan memaklumkan Marquez telah berjaya menjalani pembedahan di Hospital Ruber Internacional, Madrid bagi memperbaiki ligamen yang rosak.
“Pasukan perubatan mendapati keretakan tulang coracoid dan kerosakan ligamen acromioclavicular tidak menunjukkan tanda pemulihan yang baik. Maka, bagi mengelak risiko, kami memutuskan untuk melakukan pembedahan segera,” jelas kenyataan rasmi Ducati.
Marquez kini berehat di rumah dan akan menjalani proses pemulihan sepenuhnya dengan tahap kemajuannya menjadi penentu bila dia akan kembali beraksi di litar.
Menurut laporan awal, Marquez dijangka terlepas dua perlumbaan besar di Australia dan Malaysia, malah kemunculannya semula mungkin hanya pada GP Portugal pada awal November atau terpaksa menamatkan musim lebih awal. – AGENSI