PETALING JAYA – Mayat seorang remaja perempuan yang maut dalam kejadian kes tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, semalam sudah dituntut keluarga hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, jasad mangsa diserahkan kepada pihak keluarga susulan proses bedah siasat selesai dijalankan.
“(Bedah siasat) siap pukul 10.30 malam semalam dan mayat dituntut keluarga pada pukul 7.30 pagi tadi,” katanya ringkas hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi semalam, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui berumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE