fbpx
Gambar hiasan

Curi buku perpustakaan, sorok dalam baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kegiatan seorang lelaki menjual buku-buku yang dicuri dari perpustakaan sebuah agensi kerajaan negeri Kelantan dan swasta di Facebook terbongkar apabila suspek ditahan di sebuah rumah di sini semalam.

Suspek berusia dalam lingkungan 50-an yang ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam turut mengaku melakukan perbuatan mencuri buku di kedua-dua perpustakaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang bertugas sebagai penolong pegawai penerbitan perpustakaan mengenai kecurian buku petang kelmarin.

Menurutnya, rakan pengadu memaklumkan kepadanya bahawa buku-buku yang dijual oleh suspek menerusi Facebook disyaki bahan bacaan yang dicuri dari perpustakaan tersebut.

“Penolong pegawai penerbitan itu terus membuat semakan dan mendapati beberapa buah buku yang dianggarkan bernilai RM500 hilang dari perpustakaan itu.

“Semakan menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) perpustakaan mendapati, suspek mencuri beberapa buah buku dengan cara memasukkan bahan bacaan itu ke dalam bajunya sebelum terus keluar dari premis tersebut kira-kira pukul 11.54 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menangkap suspek di sebuah rumah di daerah ini tengah malam semalam.

Menurutnya, sebanyak 15 buah buku termasuk beberapa buah daripadanya milik perpustakaan agensi tersebut dijumpai di rumah suspek.

“Selepas tangkapan dijalankan, polis menerima satu lagi laporan berhubung kecurian buku di sebuah perpustakaan swasta di daerah ini pukul 10.23 pagi semalam.

“Pegawai operasi dan kebajikan perpustakaan itu membuat laporan terdapat kehilangan beberapa buah buku di premis tersebut pada 4 Oktober lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian di kedua-dua perpustakaan tersebut.

Menurutnya, suspek ditahan reman lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI