fbpx
Hishamuddin pada sidang akhbar di Bangunan AIBC, Kuala Lumpur hari ini.

230 mangsa skim forex, kripto rugi lebih RM83 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lebih 50 mangsa skim pelaburan forex dan mata wang kripto hadir menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memohon siasatan menyeluruh terhadap program pelaburan yang disyaki dijalankan secara tidak sah dan tidak berdaftar oleh seorang lelaki tempatan.

Serahan aduan itu diketuai Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mewakili 230 mangsa dengan jumlah kerugian melebihi RM83 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada ratusan mangsa yang mendakwa diperdaya individu terbabit melalui skim pelaburan.

“Aduan rasmi itu bertujuan membolehkan pihak BNM menjalankan siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), khususnya Seksyen 10 dan Seksyen 137, yang melarang mana-mana individu atau syarikat menjalankan perniagaan perkhidmatan kewangan tanpa lesen yang sah.

“Ada antara mereka sebelum ini telah membuat laporan polis, namun kes tersebut diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) oleh polis,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan AIBC, di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis memaklumkan siasatan lanjut boleh dijalankan BNM di bawah bidang kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang kewangan negara.

Katanya, mangsa yang hadir mahu BNM memberi perhatian serius terhadap aduan tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit.

“Mereka percaya siasatan menyeluruh oleh BNM bukan sahaja dapat membantu mendapatkan keadilan, malah menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menjalankan aktiviti pelaburan tanpa kebenaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN