fbpx
JUN HAO bakal berdepan Shi Feng pada aksi pusingan pertama Terbuka Denmark dan memiliki rekod kemenangan sebelum ini.

Jun Hao makin matang, konsisten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao dijangka mampu berdepan cabaran sukar menjelang aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Denmark yang akan berlangsung di Odense hari ini.

Laluan pemain No. 21 dunia itu tidak mudah apabila dijadualkan berdepan bintang China, Li Shi Feng seawal pusingan pertama di mana lawannya memiliki rekod tujuh kemenangan dalam lapan pertemuan.

Bagaimanapun, jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan anak buahnya itu, lebih-lebih lagi Jun Hao sentiasa beraksi baik di pusingan pertama.

“Ini adalah perlawanan pusingan pertama dan kebiasaannya Jun Hao lebih ‘segar’ pada awal kejohanan. Apa yang boleh saya katakan, dia sudah semakin matang, tenang dan tahu bagaimana mengawal tekanan.

“Latihan sepanjang minggu ini mungkin antara yang terbaik selepas saya pulang dari Abu Dhabi. Kualiti dia semakin meningkat dan itu beri keyakinan menjelang aksi di Denmark,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir bekas juara remaja Asia itu mencatat kemenangan ke atas Shi Feng adalah pada pusingan pertama Terbuka India Januari lalu di mana dia menang 18-21, 21-17, 21-17.

Sementara itu, Yogendran juga gembira dengan kematangan ditunjukkan Jun Hao bagi menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan lelaki No. 1 negara selepas Lee Zii Jia bergelut dengan masalah kecederaan.

“Ketika mula-mula dia menjadi No.1 (Malaysia), memang nampak dia berdepan tekanan tinggi apabila mudah marah dan banyak fikir jangkaan orang ramai. Sekarang dia sudah tahu apa yang perlu dicapai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI