PETALING JAYA – Keazaman ibu bapa milenial yang lazimnya dibesarkan dalam ketegasan membuatkan rata-rata mereka mahu mengubah corak didikan yang terlalu ‘keras’.
Namun menurut Public Health Malaysia (PHM), tanpa sedar ia boleh membentuk generasi selepasnya terlalu manja sehingga sukar untuk dilentur.
“Ramai ibu bapa milenial yang lahir sekitar tahun 1980 hingga 1995, membesar dalam suasana penuh disiplin dan tegas.
“Apabila dewasa, ada dalam kalangan mereka berjanji untuk tidak mengulangi cara itu,” kongsi PM.
Namun menurut PHM, niat yang lahir daripada kasih sayang tiada sempadan, boleh bertukar menjadi perangkap.
“Kasih tanpa sempadan berubah jadi ‘overprotective’ (terlalu melindungi). Anak dijaga terlalu rapi, hingga tersentuh pun sudah dianggap luka.
“Anak terlalu dilindungi, sampai tak terbiasa dengan dunia sebenar. Sedikit teguran pun terasa seperti serangan,” ujarnya.
PHM menjelaskan, kasih sayang yang berlebihan hakikatnya mampu membunuh daya tahan anak-anak.
“Kasih yang berlebihan kadang membunuh daya tahan. Anak tak belajar menanggung kecewa, tak kenal sabar bila gagal, dan tak tahu bangun sendiri bila jatuh,” tambah PHM. – KOSMO! ONLINE