PETALING JAYA – “Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu,”
Demikian luahan ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini semalam.
Dalam hantaran di Facebook, wanita itu meluahkan rasa rindu terhadap pemergian tragis anak perempuannya.
Selain itu, ibu mangsa menyifatkan anak perempuannya sebagai seorang yang penyayang dan baik hati selain tidak pernah membuat dirinya sekeluarga merasa risau.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau.
“Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain, serta tidak pernah meminta apa-apa daripada kami,” tulisnya.
Wanita itu turut menyifatkan anak perempuannya seorang yang baik dan bijak selain disayangi oleh keluarga serta rakan-rakannya.
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit.
“Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia. Ibu akan sentiasa menyayangimu dan merindui kamu, selalu,” katanya.
Dalam hantaran yang sama wanita itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kenalan yang terdekat atas keprihatinan dan doa yang disampaikan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi semalam, mangsa yang berusia 16 tahun ditemui berlumuran darah akibat kecederaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata, pihaknya kemudian menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selain merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE