PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberitahu gangguan bekalan elektrik berlaku di beberapa kawasan sekitar Kepong, Kuala Lumpur.
TNB dalam satu kenyataan berkata, pasukan teknikalnya berada di lokasi bagi melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan.
“Kesabaran anda amat kami hargai dan segala kesulitan amat dikesali.
“Berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik terutama ketika berlakunya gangguan kerana bekalan mungkin akan dipulihkan pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan orang ramai terutama di kawasan Petaling Jaya berdepan masalah bekalan eletrik yang terputus secara tiba-tiba petang tadi.
Turut terkesan, Pejabat Operasi Media Mulia Sdn. Bhd. yang menerbitkan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia di Persiaran Barat, di sini.
Tinjauan di media sosial mendapati pengguna di kawasan SS 4 turut berdepan masalah sama sejak pukul 4.18 petang, malah ada juga yang memaklumkan kawasan terjejas turut meliputi Bukit Damansara. – KOSMO! ONLINE