fbpx
FAIZAL sedia membuat kepulangan bersama pasukan negara selepas tujuh bulan mengumumkan persaraan.

Faizal pertimbang buat pusingan ‘U’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA tujuh bulan selepas mengumumkan persaraan daripada skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari kini memberi bayangan bakal membuat pusingan ‘U’ untuk kembali menyarung jersi negara.

Penyerang berusia 34 tahun itu mendedahkan hasratnya selepas membantu pasukan hoki Terengganu (THT) mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak dengan menewaskan Pahang 4-2 dalam aksi final penuh dramatik malam Sabtu.

Lebih manis, Faizal turut muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 14 gol dan dinobatkan pemain terbaik sekali gus menutup musim dengan empat kejuaraan bersama THT termasuk trebel Liga Hoki Malaysia (MHL).

“Pertama sekali syukur Alhamdulillah, ini kali keempat kami juara. Anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik tu bonus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Faizal mengakui dirinya masih bersemangat untuk bersaing di peringkat tertinggi dan tidak menolak kemungkinan kembali bersama skuad Speedy Tigers.

“Saya tunggu panggilan, kalau dapat ‘call up’ mungkin saya pertimbangkan untuk masuk balik skuad kebangsaan. Kalau tak ada pun, saya sendiri akan hubungi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Faizal menegaskan keputusannya bukan semata-mata kerana nostalgia, sebaliknya kerana masih yakin mampu bersaing dengan pemain muda.

“Saya tengok permainan sekarang, saya rasa saya masih boleh lagi. Saya pun muda lagi,” selorohnya sambil mengakui bahagian serangan skuad negara kini agak tumpul dan memerlukan lebih variasi.

Faizal yang memiliki 302 kaps bersama Speedy Tigers sebelum bersara Februari lalu berkata, keputusan muktamad akan dibuat selepas menilai keadaan fizikal dan kesediaan pasukan menjelang kempen antarabangsa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN