ARSENAL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta diberi amaran bahawa pasukan itu tidak akan berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penggempur utamanya, Viktor Gyokeres ketika ini.
Gyokeres meledak tiga gol dalam 10 perlawanan selepas melengkapkan perpindahan dari Sporting, namun dilihat belum benar-benar menemui sentuhan terbaik seperti mana dilakukan di Liga Portugal sebelum ini.
Arteta terpaksa sentiasa mempertahankan aksi pemain antarabangsa Sweden itu dengan menyifatkannya sering membantu pasukan biarpun dia tidak terlibat dalam menghasilkan jaringan Arsenal yang lain.,
Pemenang dua gelaran EPL, Joleon Lescott mengakui Gyokeres hanya boleh diletakkan dalam kategori ‘okey’ dan prestasinya menimbulkan keraguan sama ada mampu untuk membantu Arsenal mendapatkan kejayaan yang dinantikan musim ini.
“Saya hanya boleh menganggap Gyokeres sebagai ‘okey’ sahaja buat masa ini. Jika anda mahu pasukan memenangi liga, penyerang anda tidak boleh berstatus ‘okey’, tetapi perlu berada di tahap terbaik.
“Saya tidak fikir Mikel Arteta mampu untuk meraih cita-citanya musim ini dengan situasi pasukan dan penyerangnya ketika ini, tetapi untuk aksi Liga Juara-Juara situasinya mungkin berbeza,” katanya.
Lescott turut menasihati Arsenal supaya lebih bijak mengawal emosi dalam setiap perlawanan untuk memastikan mereka mampu mengawal situasi biarpun berdepan keputusan yang tidak memberangsangkan.
“Kadang-kadang reaksi yang dipamerkan Arsenal apabila mereka tewas atau tidak beraksi dengan baik, ia seperti dunia sudah berakhir. Mereka perlu melihat semula rujukan cara untuk memenangi gelaran,” jelasnya. – AGENSI