BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas sebanyak 974 kilogram (kg) sosej yang disyaki cuba dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen pengesahan import yang sah semalam.
Makanan tersebut dibawa menggunakan sebuah pikap menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, rampasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin di laluan kenderaan awam Kompleks ICQS antara pukul 6 petang hingga 7.10 malam.
“Pemeriksaan mendapati sebuah kenderaan awam cuba membawa masuk sejumlah besar makanan tanpa dokumen kelulusan yang sah serta tidak mematuhi pelabelan mengikut Akta Makanan 1983.
“Pelbagai jenis sosej seberat 974kg dengan anggaran nilai pasaran RM14,000 dirampas,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, barang rampasan telah disimpan di stor sejuk untuk tindakan lanjut oleh pihak KKM.
“Tiada individu ditahan dan tiada maklumat ejen terlibat dalam kes ini. Rampasan ini dibuat secara sukarela apabila pemilik menyerahkan sendiri barang berkenaan kepada pihak AKPS.
“Semua barang rampasan akan dilupuskan selepas tempoh 30 hari mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambahnya, AKPS menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan import makanan dan minuman serta memastikan setiap produk yang dibawa masuk mempunyai dokumen kelulusan dan pelabelan yang sah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang bagi menjaga keselamatan makanan dan kesihatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














