KUALA LUMPUR – Seramai 900,000 pekerja di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) di bawah inisiatif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sejak diperkenalkan pada Januari 2023.
Melalui AKF, pekerja boleh memohon perubahan waktu, hari, atau lokasi kerja berdasarkan Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, hasil daripada inisiatif berkenaan, majikan memaklum terdapat peningkatan produktiviti, penglibatan pekerja yang lebih kukuh serta kadar keluar masuk tenaga kerja lebih rendah.
Sekali gus katanya, inisatif berkenaan membuktikan bahawa produktiviti meningkat apabila pekerja diberikan kepercayaan dan sokongan.
“Apabila kita mewujudkan tempat kerja yang ambil peduli di mana fleksibiliti dan kesejahteraan dihargai produktiviti akan meningkat.
“Melalui inisiatif seperti Life At Work dan AKF oleh TalentCorp, kita sedang membina ekonomi yang membolehkan setiap rakyat Malaysia menyumbang secara bermakna,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Anugerah Life Of Work 2025 (Lawa 2025) yang diturut dihadiri Pengerusi TalentCorp, Wong Shu Qi di sini hari ini.
Lawa 2025 merupakan sebuah platform nasional yang menghimpunkan pemimpin industri, majikan dan pembuat dasar untuk memacu fasa seterusnya transformasi tempat kerja yang progresif dan berpusat kepada insan di Malaysia.
Dengan tema “Driving the Future of Work: Sustainable, Inclusive & Human-Centred”, persidangan ini menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh amalan kerja yang saksama dan mesra penjagaan dalam agenda ekonomi negara,
Persidangan itu juga akan menjadi landasan kepada Anugerah Lawa 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober 2025 bagi mengiktiraf majikan paling progresif dalam memperjuangkan fleksibiliti, inklusiviti dan kesejahteraan pekerja. – KOSMO! ONLINE