JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 62 warga asing dalam Operasi Ops Selera yang dijalankan di dua lokasi berbeza sekitar daerah ini, Sabtu lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi dijalankan di dua buah restoran yang dipercayai melindungi serta menggajikan pekerja warga asing secara haram.
Katanya, operasi bermula pukul 7 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar.
“Hasil pemeriksaan ke atas 143 individu, seramai 62 warga asing terdiri daripada warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, India, Vietnam, Indonesia dan Myanmar ditahan. Turut ditahan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar.
“Kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja secara haram,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Rusdi berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE