SEBERANG PERAI – Seorang buruh binaan didenda RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan MyKad untuk seorang kanak-kanak, Februari tahun lalu.
Choo Kean Chee, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Kean Chee didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu melalui borang JPN.LM05 yang mengandungi butiran tidak benar bagi mendapatkan kad pengenalan atas nama Choo Li Quan (Daftar Lahir CQ56002). Tertuduh juga bertindak sebagai penganjur bagi permohonan tersebut.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Seberang Perai Utara di sini, antara pukul 8 pagi hingga 5 petang, pada 21 Februari 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat permohonan kad pengenalan di JPN cawangan Bertam bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun namun kakitangan bertugas mengesan keraguan apabila wajah pemohon yang mengaku sebagai bapa tidak seiras dengan kanak-kanak terbabit.- KOSMO! ONLINE