BATU PAHAT – “Dia ‘pergi’ bertemu bidarari syurganya di sana.”
Itu luahan pilu ahli keluarga Muhammad Husni Mahmud, 47, yang ditemukan lemas selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandu terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pekan Pagoh, Muar dekat sini semalam.
Adik mangsa, Saryussaqapi, 42, berkata, dia dan ibu bapanya tidak menyangka sarapan kelmarin merupakan pertemuan terakhir mereka bersama Muhammad Husni.
“Pagi semalam kami bersarapan di rumah. Tiada sebarang perubahan namun beberapa hari kebelakangan ini dia mengadu sakit kepala.
“Saya urut kepalanya, dia kata ringan sikit, selepas itu dia beritahu hendak pergi klinik. Tak sangka dia pergi sampai Panchor, sebab katanya nak jumpa kawan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang di sini hari ini.
Saryussaqapi berkata, abangnya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik terlalu sayangkan isterinya.
Sejak kematian isteri, Haniza Rahmat pada 23 September 2021 akibat jangkitan Covid-19, Muhammad Husni terlalu merindui wanita tersebut.
“Dia dah pergi jumpa isterinya di sana, kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Lelaki itu berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa arwah abangnya selepas melihat penstriman langsung di TikTok mengenai kejadian sebuah kereta terjunam ke dalam sungai.
“Waktu itu, masih samar-samar sama ada kereta itu milik abang atau orang lain kerana nombor pendaftarannya tidak jelas.
“Saya ikuti (penstriman langsung) sampai pukul 1 pagi baru dapat tahu itu kereta abang. Ketika itu saya dimaklumkan abang sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, bapa arwah, Mahmud Talib, 78, berkata, Muhammad Husni tinggal bersamanya dan isteri selepas kematian isteri akibat koronavirus.
“Husni memang rapat dengan saya sebab tinggal bersama. Dia seorang yang periang dan tak banyak kerenah.
“Kami dapat berita sedih ini selepas dihubungi pihak berkuasa yang memaklumkan mangsa dalam kejadian kereta tenggelam itu adalah anak saya,” katanya.
Jenazah Muhammad Husni akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kajang, di sini selepas selesai proses bedah siasat.-KOSMO! ONLINE