fbpx
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Tiada unsur buli kes tikam pelajar perempuan di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis mengesahkan tiada unsur buli berhubung kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya sudah menahan dan akan mengambil keterangan suspek iaitu pelajar lelaki berusia 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah berkenaan.

“Saya mengesahkan tiada unsur buli yang berlaku setakat siasatan polis pada saat ini. Kalau timbul perkara-perkara lain saya akan maklumkan.

“Kita akan jalankan siasatan lanjut selepas ini dan masih terlalu awal untuk (kenal pasti punca kejadian),” katanya ketika ditemui di Bandar Utama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan dalam proses mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.

“Pegawai penyiasat saya masih lagi di sekolah. Sudah pastinya rakan-rakan mangsa ataupun suspek dan guru-guru akan diambil keterangan. Siasatan masih dalam tindakan pihak pasukan penyiasat,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut disyaki akibat ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian sekitar pukul 9.10 pagi berlaku di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.

Katanya, polis turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN