KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan tindakan pembetulan secara menyeluruh susulan beberapa teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bil. 3/2025 yang mendedahkan kelemahan dalam pelaksanaan projek di bawah kementerian itu dan agensinya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya memandang serius setiap teguran dikemukakan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai atau mengambil mudah tanggungjawab dalam melaksanakan projek untuk rakyat.
“Masih ada projek di bawah KKR dan agensinya yang lewat siap, ada yang tidak mematuhi spesifikasi, ada juga kelemahan dokumentasi dan pengawasan. Sebagai Menteri, saya menerima laporan itu dengan hati yang berat dan terbuka,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.
Alexander menjelaskan bahawa walaupun jumlah projek yang menghadapi masalah adalah kecil, sekitar dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan projek, langkah tegas tetap akan diambil untuk memperbetulkan keadaan.
“(Projek) ada masalah dan sebagainya tak banyak, hanya dua hingga tiga peratus sahaja projek sakit. Walaupun begitu kecil, ia penting juga, kalau dapat kita sifarkan atau sekurang- kurangnya yang sekecil-kecil bilangan ada itu kita nak kurangkan.
“Esok, Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan akan ada perjumpaan (dengan pihak terlibat) berkaitan projek sakit,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian akan memperkukuh aspek pemantauan, kawalan kualiti dan disiplin pelaksanaan projek di semua peringkat agar kesilapan sama tidak berulang.
“Saya tidak akan menyapu perkara ini di bawah karpet. Teguran itu bukan hukuman, ia adalah cermin kejujuran institusi pengawasan negara.
“Namun, jika kita terus mengulangi kesilapan sama, itu bukan lagi kelemahan sistem, itu adalah kegagalan manusia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE