JAKARTA – Seorang lelaki di Kendari, wilayah Sulawesi Tenggara membaling batu ke arah isterinya selepas berang akibat dilemparkan dengan kata-kata kesat oleh mangsa, lapor laman berita Detik.
Suspek dikenali sebagai H, 32, ditahan selepas dituduh melakukan tindakan keganasan rumah tangga.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kendari, Asisten Komisioner Welliwanto Malau, insiden berlaku di rumah pasangan tersebut di Jalan Taman Suropati pada Rabu minggu lalu.
“Ahli keluarga mangsa melaporkan perkara itu kepada polis,” kata Welliwanto.
Tambahnya, serangan bermula apabila suspek bertanyakan hubungan mangsa dengan seorang lelaki dikenali sebagai M. Bagaimanapun, mangsa berang dan melemparkan kata-kata kesat kepada suspek.
“Mangsa memakinya menggunakan bahasa kesat,” kata Welliwanto.
Disebabkan berang, suspek mengambil batu dan membalingnya ke arah kepala mangsa sehingga mengeluarkan darah.
Suspek kini ditahan polis ketika kes itu masih disiasat. – AGENSI