JOHOR BAHRU – Skuad hoki remaja negara meraih kemenangan pertama dalam kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menewaskan New Zealand 4-2 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di sini, malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengutip empat mata daripada tiga perlawanan manakala The Black Sticks terus terperosok di kedudukan tercorot apabila tewas semua perlawanan.
Pada suku pertama, perlawanan tampak seimbang antara kedua-dua pasukan yang cuba mendominasi perlawanan dan berhati-hati untuk melancarkan serangan.
Gol yang diburu pasukan hoki remaja negara hadir pada awal suku kedua setelah Ammar Qusyairi Abd. Halim membuat umpanan kepada P. Naaveenesh yang menguis bola masuk menerjah gawang lawan pada minit ke-16.
Tiga minit berselang, Naaveenesh menambah jaringan peribadinya apabila menyudahkan hantaran Danish Aiman Khairul Anwar bagi meledak gol kedua menewaskan Nixon pada minit ke-19.
Young Tigers terus menghukum pasukan kendalian Mike Delaney apabila meledak gol ketiga berpunca daripada larian lincah Danish Aiman dari sayap kanan sebelum mengumpan bola kepada Ammar Qusyairi yang menolak bola menerjah gawang The Black Sticks pada minit ke-20.
New Zealand turut berupaya memberi ancaman kepada gawang skuad hoki remaja negara menerusi pukulan Bradley Rothwell pada minit ke-38 namun Haziq Muizuddin Hairul Mizan tangkas menepis bola keluar.
New Zealand turut dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti berturut-turut namun tidak berjaya menghasilkan jaringan.
The Black Sticks akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila pukulan sudut penalti yang diambil Jakarta Klebert dibiaskan Javahn Jones menewaskan penjaga gol pada minit ke-44.
Kesilapan pasukan Young Tigers yang mudah memberi pukulan sudut penalti kepada lawan dihukum New Zealand setelah peluang itu disudahkan Rocco Ludoph pada minit ke-47.
Tindakan Delaney bermain ‘power play’ pada lima minit terakhir setelah kapten pasukan, Gus Nelson dilayangkan kad kuning memakan diri apabila Young Tigers melebarkan kedudukan menerusi gol padang Danish Irfan Muhammad Saufi pada minit ke-57.
Terdahulu, juara bertahan, Great Britain merekodkan kekalahan kedua apabila tewas 0-2 kepada Australia sekali gus menyebabkan peluang pasukan kendalian Jon Bleby untuk mempertahan kejuaraan semakin tipis.
Gol Australia dijaringkan oleh Duncan Jackson pada minit ke-15 menerusi gol disusuli jaringan Ian Grobbelaar menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-51 membolehkan Burras mengutip tujuh mata.-KOSMO! ONLINE