SEREMBAN – Polis sudah melengkapkan siasatan kes kematian murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah tandas sekolah di Senawang, di sini, 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut.
Katanya, sejak kes berkenaan dilaporkan, pihaknya sudah menjalankan siasatan menyeluruh melibatkan pelbagai elemen termasuk Unit Sains Tingkah Laku (D11) dan Unit Siasatan Forensik (D10) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Kita juga siasat kemungkinan ada unsur buli atau sebaliknya. Setakat in, sebanyak 49 keterangan saksi telah dirakamkan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Alzafny menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengulas secara tidak bertanggungjawab mengenai kes berkenaan.
Pada 1 Oktober lalu, media melaporkan mengenai seorang murid ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat pada 2 Oktober lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.- KOSMO! ONLINE