fbpx
Amirudin Shari.

Selangor tingkatkan keselamatan sekolah susulan insiden tikam pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan mempertingkatkan tahap keselamatan di semua sekolah susulan insiden tragis seorang pelajar perempuan maut ditikam oleh pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia perlu dilakukan dengan segera dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) dan komuniti setempat dengan sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita.

“Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan semua anak-anak kita di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan polis sedang menyiasat kes jenayah ini, dan dimaklumkan bahawa kes ini tidak melibatkan unsur perkauman.

“Di peringkat siasatan, pihak polis akan terus menyiasat elemen jenayah kes ini dan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai,” tegasnya.

Menurut Amirudin, kejadian itu amat menyedihkan dan turut memberi kesan mendalam kepadanya sebagai seorang bapa.

“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa, dan saya mengucapkan takziah kepada mereka.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail memaklumkan suspek kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama telah ditahan hari ini

Polis merampas dua senjata tajam disyaki digunakan seorang pelajar lelaki dalam kes bunuh membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama hari ini.

Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun manakala, mangsa pelajar perempuan berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN