PETALING JAYA – “Sarat peringatan hebat daripada seorang ayah yang hebat.”
Demikian perkongsian pelakon Abby Abadi yang tersentuh mendengar ucapan penuh bermakna disampaikan bapa kepada penyanyi Amira Othman iaitu Othman Abd. Kadir buat anaknya itu, baru-baru ini.
Ujar Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, titipan kata penuh makna itu menyentuh hatinya kerana turut mengingatkan kepada pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya.
“Peringatan hebat untuk Amira dan Fattah serta sangat baik untuk mereka yang nak mendirikan rumah tangga.
“Panjang tapi memang buat saya rasa nak nangis sebab arwah ayah saya dulu tak pandai nak bagi nasihat panjang begitu.
“Antara ‘point’ yang saya ingat macam yang saya tulis sebab saya lalui sendiri. Gaduh, tak pujuk, tidak balik berbulan-bulan memang membuatkan keadaan jadi lebih buruk.
“Banyaklah ‘point’ lain yang menusuk di kalbu,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Pada masa sama, anggota kumpulan Elite itu memaklumkan ingatan tersebut sarat dengan nilai kekeluargaan sekali gus membuktikan didikan bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak.
“Memang betul ada ayah begini yang akan membuatkan anak-anak terdidik dengan baik.
“Terbukti figura seorang ayah sangat penting untuk anak-anak membesar menjadi manusia yang bernilai,” ujarnya lagi.
Selain itu, Abby juga sempat menegur individu yang menganggap nasihat tersebut sebagai perkara biasa selain berharap perkongsian terbabit diterima dengan hati terbuka.
“‘Ala, mak pak orang lain pun nasihat juga cuma tak tular saja’, kata-kata seorang acik. Apa lah, komen macam ini, kena faham dan sedarlah kedudukan kita di mana.
“Allah ciptakan kita ini pun dengan sifat yang berbeza. Allah bagi akal fikiran pun dengan kefahaman yang berbeza.
“Paling acik kena sedar, kata-kata kita pun bukan semua orang nak dengar kalau kita bukan siapa-siapa ya acik.
“Bila ada yang kongsikan kebaikan, belajarlah menerima dengan berlapang dada. Tak perlu komen macam sakit sangat nampak jiwa itu, rilekslah acik,” jelasnya.
Baru-baru ini, Amira dan Fattah diraikan dalam majlis persandingan yang diadakan di Dewan Persada Johor Bahru, Johor.
Terdahulu, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, menamatkan zaman duda dengan Amira pada 14 September lalu di sebuah resort di Sepang. – KOSMO! ONLINE