fbpx
ANTARA rampasan daun ketum dan air ketum oleh PGA Briged Utara ketika pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kilometer 267, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan semalam.

PGA tahan seorang lelaki, rampas 1.63 tan daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Sebanyak 1.63 tan metrik daun ketum dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara selepas menahan seorang lelaki ketika pemeriksaan di Kilometer 267, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, Selasa lalu.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan pada pukul 4 pagi itu, Cawangan Risik Briged Utara turut merampas 1,320 botol air ketum dan menyita sebuah lori dengan nilai keseluruhan berjumlah RM304,800.

Katanya, tangkapan terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu dilakukan selepas risikan dan intipan selama sebulan.

“Pemeriksaan di dalam lori mendapati kenderaan itu dipenuhi ratusan plastik hitam mengandungi daun ketum dan beberapa tong ais berisi air ketum.

“Berdasarkan siasatan, bekalan daun dan air ketum itu diperoleh dari kawasan negeri di utara untuk dihantar ke Lembah Klang dan pemandu lori dibayar upah RM500 bagi satu perjalanan membawa masuk bekalan daun dan air ketum,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI