KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dari tahun ke tahun memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024 membantu menghapuskan kemiskinan tegar.
“Peningkatan STR dan Sara memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berhubung keberkesanan pelaksanaan Sara dalam membantu golongan B40.
Terdahulu, Hui Ying berkata, lebih 5.34 juta daripada keseluruhan penerima Sara telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar setakat 13 Oktober lalu.
Menurut beliau, ia mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.3 bilion.
Katanya, kadar penggunaan tertinggi di Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 99 peratus pembelian di kedai-kedai runcit berdaftar.
“Setakat 13 Oktober, jumlah kedai Rakan Niaga Sara meningkat kepada 8,400 buah kedai termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini. – KOSMO! ONLINE