PETALING JAYA – Universiti Putra Malaysia (UPM) menggantung tugas Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP), Prof. Madya Dr. Ng Yee Guan, serta-merta susulan insiden pembunuhan anjing liar yang tular baru-baru ini.
UPM memaklumkan, tindakan itu diambil bagi memelihara integriti siasatan yang sedang dijalankan oleh polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurut kenyataan itu, universiti berkenaan turut menzahirkan rasa kesal serta memohon maaf atas insiden yang berlaku pada penghujung tahun lalu.
“UPM menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika dan mematuhi peraturan semasa,” katanya.
Tambahnya, semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus turut digantung sementara sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih menyeluruh dibangunkan.
SOP baharu itu akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015.
UPM juga akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur serta merangka pendekatan terbaik yang mampan.
“UPM komited menegakkan aspirasi kesihatan bumi dengan mengintegrasikan kebajikan haiwan, keselamatan manusia dan pemeliharaan alam sekitar sebagai agenda utama universiti,” katanya.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan UPM mengupah satu syarikat untuk membunuh anjing di sekitar kawasan terbabit.
Susulan daripada insiden itu Jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tular mengenai pengurusan haiwan liar dalam kampus. – KOSMO! ONLINE.