PUTRAJAYA- Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan permohonan kuota pekerja asing secara case by case kepada tiga sektor iaitu perladangan, pertanian selain perlombongan dan pengkuarian bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal.
Kemudahan itu turut ditawarkan pada 10 subsektor iaitu kawalan keselamatan, barang logam dan lusuh; pembersihan dan pencucian bangunan, borong runcit, dobi, restoran, gudang darat, kargo, pembinaan di bawah projek-projek kerajaan dan pelaburan baharu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia yang dicadangkan oleh agensi kawal selia.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pemberian kemudahan ini bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kritikal, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan keseimbangan antara kepentingan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Pemberian kemudahan ini mencerminkan komitmen kerajaan meneruskan langkah kawalan penggajian pekerja asing yang fleksibel berasaskan keperluan sebenar industri untuk terus beroperasi dengan cekap dan berdaya saing.
“Pendekatan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk meneliti semula pelaksanaan dasar serta mekanisme pengurusan penggajian pekerja asing pada tahun hadapan dengan jumlah siling
pekerja asing ditetapkan hanya 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara pada tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Susulan itu, tempoh untuk majikan di bawah sektor dan subsektor yang dibenarkan memohon penggajian pekerja asing adalah sehingga 31 Disember depan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, di bawah kemudahan ini, majikan yang mempunyai keperluan terhadap pekerja asing boleh mengemukakan permohonan kuota secara terus kepada Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing di KDN.
“Ia tertakluk kepada penilaian oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi kawal selia yang berkaitan dengan mengemukakan dokumen sokongan lengkap seperti ditetapkan.
“Permohonan kemudahan ini akan dinilai berdasarkan merit dan keperluan sebenar sektor masing- masing,” katanya.
KDN berkata, pelaksanaan kemudahan itu berteraskan prinsip Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara keperluan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Kerajaan komited memastikan penggajian pekerja asing dilaksana secara teratur, beretika dan berperikemanusiaan selaras dengan nilai ihsan, tanggungjawab dan kesejahteraan
bersama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE