PUTRAJAYA – Pentadbir yang bertugas di sekolah pelajar maut ditikam dilaporkan akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu siasatan sehingga proses itu selesai.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, selain itu, pasukan kaunselor dan guru bimbingan kaunseling turut digerakkan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan.
Sementara itu, ditanya sama ada pihak sekolah akan menangguhkan sementara Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang sedang berjalan di sekolah itu, Mohd. Azam berkata, ujian itu akan berjalan seperti biasa.
“Ujian itu adalah ujian school-based (ujian berasaskan sekolah). Jadi sebenarnya sekolah nanti dia bijak untuk menyusun atau menyesuaikan semula jadual ujian UASA itu dengan situasi yang ada,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Katanya, KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia kerana ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada hari ini.
Jelasnya lagi, KPM akan bersama dengan ahli keluarga untuk memberi sokongan dan apa juga bantuan yang diperlukan dalam menempuh saat getir ini.
“KPM memandang serius insiden jenayah yang berlaku antara pelajar di dalam kawasan sekolah, termasuk kes yang melibatkan kematian dan rogol baru-baru ini.
“Kami tidak menganggap kes-kes ini sebagai kes terpencil. Kementerian melihat insiden-insiden ini sebagai satu tamparan tegas kepada kami untuk melakukan lebih banyak usaha bagi memperkukuh keselamatan pelajar dan kesejahteraan mental mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE