PETALING JAYA – Seorang pemuda mendakwa gajinya dipotong hanya kerana meninggalkan pejabat untuk pergi menunaikan solat Jumaat sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang ramai.
Menerusi perkongsian di Threads, lelaki itu terkedu apabila mendapati gajinya dipotong walaupun sudah berbincang kepada bahagian sumber manusia mengenai urusan solat Jumaat.
“Dah 2025, ingatkan semua syarikat di Johor dah ikut garis panduan Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Rupanya masih ada yang macam ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lelaki itu dikatakan baru memulakan kerja bulan lalu dan menunaikan solat Jumaat sebanyak dua kali.
“Semalam dah cakap dengan HR (sumber manusia) tolong beritahu bos (majikan) untuk bagi rehat solat Jumaat. Kalau tak jalan juga, saya yang jalan (beredar) dari sini,” katanya.
Perkongsian pemuda itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang menasihatinya supaya membuat laporan kepada pihak berwajib.
“Mintak HR beritahu majikan dulu sebab kebanyakan syarikat ikut garis panduan JTK. Kalau tak jalan, bawa ke pihak berkenaan (pihak berkaitan),” cadang Danish.
“Buat aduan ke JTK, Insya-Allah mereka bantu. Kalau berhenti pun tak selesaikan masalah sebab orang lain pun boleh kena benda sama (potong gaji),” kata Anna.
“Mana boleh potong gaji sesuka hati kecuali yang wajib ikut undang-undang buruh,” balas Maeysha. – KOSMO! ONLINE