fbpx
Mohideen (gambar) menunjukkan antara kawasan tumpuan di George Town yang tidak mesra OKU di Pejabat CAP, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

OKU dilema, tiada kemudahan inklusif di tempat awam – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kebimbangan golongan orang kurang upaya (OKU) berhubung kekurangan akses atau kemudahan yang lebih inklusif untuk mereka terutama di tempat awam.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di beberapa bangunan awam dan premis kerajaan di negeri ini mendapati hampir keseluruhannya tidak menyediakan kemudahan awam yang lebih mesra OKU termasuk dikatakan sudah rosak.

“Hasil tinjauan di Bangunan Tuanku Syed Putra, Lebuh Downing di sini, baru-baru ini mendapati tiada tandas mesra OKU manakala lif terlalu sempit untuk mereka yang berkerusi roda.

“Masalah sama turut berlaku di terminal bas di Komtar apabila tanjak atau ‘ramp’ didapati tidak selamat dan laluan pejalan kaki di lokasi berkenaan juga terlalu sempit.

“Keadaan ini turut berlaku di beberapa perhentian bas di kawasan Sungai Dua, Greenlane dan Balik Pulau. Sehinggakan ada dalam kalangan mereka (OKU) terpaksa bergantung harap daripada orang lain,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, walaupun terdapat peruntukan undang-undang yang sedia ada, namun CAP mendapati bahawa banyak bangunan dan kemudahan masih tidak mematuhinya.

“Tandas yang tidak boleh diakses, tanjakan yang tidak diselenggara dengan baik, dan kemudahan orang kurang upaya yang berkunci atau tidak boleh digunakan terus melucutkan hak OKU untuk mendapatkan maruah mereka.

“Justeru, CAP menggesa agar pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan segera dengan menguatkuasakan pematuhan Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan piawaian reka bentuk sejagat.

“Pihak berkenaan juga perlu menjalankan audit segera dan menaik taraf kemudahan yang tidak memenuhi keperluan kebolehcapaian dan memastikan tandas OKU kekal tidak berkunci dan berfungsi atau memberikan notis yang jelas apabila dalam pembaikan,” katanya.

Tambah beliau, usaha kerajaan dalam melatih kakitangan dan melibatkan organisasi OKU dalam perancangan, pemantauan serta pengawasan infrastruktur juga antara solusi berkesan dalam memastikan kemudahan memenuhi keperluan sebenar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI