fbpx
GAMBAR HIASAN

MyCC gagal rayuan akhir saman Grab RM86.77 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi mengembalikan cadangan denda RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikatnya, Grabcar Sdn. Bhd. serta Myteksi Sdn. Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Datuk Lee Swee Seng.

Panel turut memerintahkan MyCC membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Grab.

Bagi kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu perlu memohon kebenaran terlebih dahulu.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Abu Bakar berkata keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah sah dan perlu dipatuhi.

Menurut beliau, panel memahami penjelasan serta hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, namun berpandangan bahawa sudah wujud satu keputusan substantif dibuat dalam kes berkenaan.

“Walaupun boleh dikatakan tiada keputusan yang muktamad, namun mahkamah berpendapat bahawa satu keputusan substantif telah pun dibuat dan perlu dipatuhi walaupun pada peringkat ini.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat bahawa pihak pemohon gagal memenuhi kehendak di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.

Dalam prosiding itu, Grab dan anak-anak syarikatnya diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala MyCC diwakili peguam, Datuk V. Sithambaram.

Pada Disember 2019, tiga syarikat terbabit memfailkan semakan kehakiman selepas MyCC mencadangkan denda sebanyak RM86.77 juta selepas mendakwa syarikat berkenaan melanggar Akta Persaingan 2010.

Mahkamah Tinggi pada 2020, menolak permohonan Grab dan anak syarikat untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan langkah itu pramatang kerana keputusan yang dicadangkan belum muktamad.

Grab merayu keputusan itu pada April 2021, Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan Grab untuk mendapatkan kebenaran dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran atas meritnya.

Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Mahkamah Tinggi kemudian meneruskan perbicaraan penuh untuk merit semakan kehakiman pada 2022.

Susulan itu, pada 6 Julai 2023, MyCC sekali lagi mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Grab selepas syarikat e-hailing itu memperoleh perintah certiorari bagi membatalkan cadangan denda RM86.77 juta tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN