KUALA LUMPUR – Penyanyi Ara Johari mendedahkan pernah merasai aura negatif di lokasi sama insiden peserta program Talk To My Manager (TTMM), Ahmad Dayyan atau Amad pengsan secara tiba-tiba ketika membuat persembahan Ahad lalu.
Pernah membuat persembahan di lokasi tersebut, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata, pada ketika itu, dia berasakan seperti diperhati, namun bersyukur tidak mengalami sebarang gangguan menakutkan.
“Saya tidak pernah nampak atau diganggu, cuma terasa seperti diperhatikan ‘sesuatu’ sebab kita boleh rasa ada aura yang kurang menyenangkan
“Mungkin ada baiknya juga cadangan untuk ‘bersihkan’ tempat itu.
“Jika ada yang boleh sahkan, mungkin saya takkan datang lagi. Meskipun nampak kuat, saya ada takutnya juga,” katanya pada majlis tayangan perdana filem Siapa Dia, di sini semalam.
Berkongsi pandangan mengenai dakwaan sesetengah pihak mengenai segelintir anak seni yang mengamalkan ilmu hitam, dia enggan mengulas lanjut kerana bimbang menimbulkan fitnah.
Disebabkan itu, dia memilih untuk berhati-hati dan menjaga pertuturan agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
“Saya tidak mahu komen lebih, risau jatuh fitnah.
“Sebelum ini saya pun tidak percaya kewujudan benda-benda begini, tetapi selepas orang terdekat sendiri terkena, saya mula percaya
“Sejak itu, saya lebih berhati-hati, elak sakitkan hati orang dan selalu berdoa agar dijauhkan daripada perkara sebegini,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia turut bersimpati dan berharap Amad segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala.
“Apa yang berlaku kepada Amad memang mengejutkan dan Aisha Retno juga mengalami gangguan sama.
“Kita doakan semoga Amad cepat sembuh kerana industri memerlukan bakat sepertinya,” jelasya.
Terdahulu, Amad dilaporkan berada dalam keadaan tidak bermaya sebelum pengsan selepas membuat persembahan pada konsert final TTMM pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, hasil pemeriksaan perubatan mendapati Amad tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Biduanita Negara yang juga ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula seolah-olah memberi bayangan bahawa bahawa unsur luar yang mengganggu tumpuan dan kondisi Amad. – KOSMO! ONLINE