LONDON – Fabio Quartararo mungkin menjadi pelumba seterusnya yang mengikuti jejak langkah Marc Marquez apabila juara dunia MotoGP 2021 itu tidak menolak kemungkinan menyertai pasukan satelit menjelang musim 2027.
Pelumba Perancis berusia 26 tahun itu kini masih bergelut bersama Yamaha apabila prestasinya jauh daripada tahap terbaik sejak memenangi gelaran dunia empat tahun lalu.
Walaupun kekal sebagai antara nama besar di MotoGP, Quartararo dilihat semakin sukar untuk bersaing di barisan hadapan bersama pasukan Jepun tersebut.
Walaupun kecewa dengan kemajuan jentera Jepun itu, Quartararo tetap menandatangani kontrak baharu dua tahun bernilai tinggi musim lalu, dengan Yamaha berusaha memujuknya agar kekal melalui projek pembangunan enjin V4.
Namun, ujian awal di Litar Misano bulan lalu tidak memberi gambaran positif apabila Quartararo mengakui masalah lama pada enjin ‘inline-four’ masih wujud pada versi baharu itu.
Langkah Marquez meninggalkan Honda pada 2023 sebelum berpindah ke pasukan utama Ducati dan mendominasi musim 2025 untuk merangkul gelaran dunia ketujuh telah membuka mata ramai pelumba utama, termasuk Quartararo.
Apabila ditanya sama ada dia mempertimbangkan langkah serupa, Quartararo tidak menolak sebarang kemungkinan, namun yakin dirinya masih layak menunggang jentera pasukan pengeluar.
“Marc (Marquez) menyertai Gresini ketika semua pelumba sudah mempunyai kontrak, jadi dia berada di antara kitaran kontrak.
“Sudah tentu saya perlu membuat keputusan nanti, tetapi saya rasa masih terlalu awal (berpindah). Dengan potensi yang kami miliki, saya percaya kami layak berada dalam pasukan pengeluar.
“Namun dalam masa sama, kita perlu menimbang semua pilihan dan melihat bagaimana Yamaha membangunkan jentera baharu itu,” kata Quartararo. – AGENSI