KAHERAH – Mesir, Qatar dan Türkiye menandatangani dokumen gencatan senjata Gaza bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, lapor laman berita TRT
Dokumen itu ditandatangani pada sidang kemuncak antarabangsa yang dihoskan oleh Mesir di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh semalam.
Trump memuji ‘hari yang luar biasa untuk Asia Barat’ ketika beliau dan pemimpin serantau menandatangani deklarasi untuk mengukuhkan gencatan senjata di Gaza, beberapa jam selepas Israel dan Hamas bertukar tahanan.
“Ini adalah hari yang luar biasa untuk dunia, ini hari luar biasa untuk Asia Barat,” kata Trump ketika lebih 24 pemimpin dunia bermesyuarat pada sidang kemuncak itu.
“Dokumen ini akan menyatakan peraturan dan banyak perkara lain,” kata Trump sebelum menandatanganinya sambil mengulangi dua kali bahawa gencatan senjata Gaza akan bertahan.
Dalam pada itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah el Sisi berkata, negaranya akan menganjurkan persidangan mengenai pembinaan semula Gaza.
“Mesir akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan rakan kongsi lain dalam tempoh beberapa hari lagi untuk meletakkan asas bagi pembinaan semula Gaza, manakala kami berhasrat untuk menganjurkan persidangan pemulihan awal, pembinaan semula serta pembangunan,” katanya.
Sisi juga berkata bahawa perjanjian Gaza ‘menutup episod menyakitkan dalam sejarah manusia dan membuka era baru keamanan serta kestabilan’ di Asia Barat.
Beliau menambah, ia menandakan hari bersejarah untuk keamanan yang menetapkan pentas ke aras penyelesaian dua negara. – AGENSI