KUALA LUMPUR – Malaysia tidak diundang ke rundingan damai bagi menghentikan perang di Gaza di Sharm El-Sheikh, Mesir semalam kerana sokongan Malaysia terhadap pelan damai tersebut adalah secara bersyarat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hanya negara yang yang memberi sokongan penuh terhadap pelan damai yang meliputi 20 perkara diundang mengikuti rundingan tersebut.
“Malaysia tidak termasuk (diundang) kerana Malaysia menyokong dengan bersyarat. Syaratnya adalah penyelesaian menyeluruh, membawa balik rakyat Palestin yang diuris dan berapa syarat terkait dengan hak Palestin sebagai sebuah negara yang tidak termasuk dalam pelan itu.
“Pelan damai 20 perkara itu tidak termasuk hak rakyat Palestin negara, kedudukan penjajahan yang terus berlaku dan keganasan rejim Zioinis Israel di Tebing Barat. Kenyataan saya dan Menteri Luar menyokong dengan bersyarat.
“Jadi ada yang bertanya kenapa (Malaysia) sokong pelan damai… Kerana kita mahu dihentikan pemusnahan harta, pembunuhan rakyat termasuk wanita dan bayi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) mengapa Malaysia tidak diundang dalam rundingan damai bagi menghentikan perang di Gaza yang disertai lebih 20 buah negara.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, negara-negara Arab termasuk Arab Saudi telah memberi persetujuan untuk menyegerakan bantuan ke Gaza termasuk kemudahan asas.
Tambah beliau, Malaysia pula akan mengadakan pertemuan segera dengan Jepun bagi mempercepat usaha pemulihan dan pembangunan semula Gaza selepas perdamaian dicapai.
Katanya, pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 Oktober ini.
“Kita juga akan mempercepat persiapan iaitu persidangan kerjasama dengan negara Asia Timur yang dipengerusikan bersama inisiatif Jepun dengan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE