PETALING JAYA – Aspek taktikal menjadi fokus utama skuad bola sepak wanita negara yang kini dalam fasa persiapan untuk hadapi dua perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 22 dan 25 Oktober ini.
Pengendali negara, Joel Cornelli menjelaskan dia turut merangka strategi baharu buat Malayan Tigress dan akan memanfaatkan tempoh masa yang ada untuk perkukuhkan kualiti permainan.
“Kami ada satu minggu untuk persiapan menentang Hong Kong dan kali ini kami ada lebih banyak masa untuk bersama. Jadi, saya akan guna kesempatan ini untuk membina pasukan.
“Saya akan bandingkan aksi terakhir kami dan cari kesilapan yang ada untuk diperbaiki. Dalam masa sama, kita kena jaga struktur pasukan agar seiring dengan falsafah diinginkan.
“Tetapi sudah tentu kita akan mencuba perkara lain juga seperti taktikal baharu yang boleh mengubah perlawanan. Inilah permulaannya untuk kita perkemaskan pasukan,” katanya.
Sementara itu, kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur berkata, semua pemain teruja untuk kembali beraksi menentang Hong Kong kerana ada misi yang ingin dilunaskan.
“Kami akan pamerkan aksi terbaik dan cuba perbaiki kelemahan yang ada. Kami cuba menang ke atas Hong Kong dalam aksi kali ini kerana dalam pertembungan terakhir kami tewas 1-2,” katanya. – KOSMO! ONLINE