PETALING JAYA – MAGGI® kembali lagi dengan program Wanita Cukup Berani (WCB) dengan kali ini menyasarkan untuk memperkasa seramai 10,000 wanita di seluruh negara menjelang tahun depan dengan, sekurang-kurangnya 20 usahawan makanan baharu.
Program WCB tersebut kembali untuk tahun keempat dengan lebih 4,000 wanita telah diperkasakan di serata Malaysia sekali gus inspirasi kepada golongan yang lain untuk mengenal potensi sebenar, mengejar cita-cita serta berani untuk melangkah ke hadapan.
Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Chech berkata, sempena ulang tahun ke-50 MAGGI® membekalkan makanan berkhasiat kepada rakyat Malaysia, WCB kini sudah berkembang maju daripada ‘teman dipercayai’ di dapur kepada rakan kongsi memperkasa wanita.
“Apabila kami melancarkan program Wanita Cukup Berani empat tahun lalu, kami sedar ramai wanita sebenarnya sudah memiliki kemahiran, kreativiti dan keazaman tinggi.
“Apa yang sering mereka perlukan ialah galakan dan suntikan keyakinan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Di sinilah WCB memainkan peranan membantu wanita menyedari mereka memang cukup berani mencuba, belajar dan melangkah ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada pelancaran program WCB di sini semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Faridah Awang.

Ivy berkata, kelazatan makanan dan keseronokan memasak sentiasa menjadi nadi kepada kisah MAGGI®.
“Makanan bukan sahaja membekalkan tenaga. Masakan disediakan melambangkan kasih sayang mengeratkan ikatan keluarga dan hasil kreatif yang menghidangkan pelbagai cita rasa dan tekstur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, program WCB merupakan contoh yang memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasakan wanita.
“Nestlé berbangga dapat bekerjasama dengan Google dan TikTok, yang mana melalui kepakaran serta platform mereka membuka peluang digital baharu kepada wanita.
“Kerjasama ini membuktikan bagaimana perkongsian antara sektor awam dan swasta dapat melahirkan inisiatif bukan sahaja memberi impak besar, tetapi juga mampan dan berpanjangan,” katanya dalam kenyataan.

Program WCB berteraskan semangat ‘Tak Kenal, Tak Cinta’ dan ia membina ekosistem sokongan daripada bimbingan, latihan digital dan keusahawanan serta jaringan komuniti yang mampu membantu wanita untuk terus berkembang walaupun selepas menamatkan program.
Peserta dibimbing oleh empat mentor iaitu Anne Idris, Alleena Abdullah, Chef Naem dan Ven Luan yang akan membimbing mereka melalui modul dalam talian dan secara bersemuka. – KOSMO! ONLINE