MUAR – Selepas hampir 11 jam operasi mencari dilaksanakan, pemandu kereta yang hilang selepas Proton Saga dinaiki terjunam ke dalam Sungai Panchor, di pekan Panchor, Pagoh, di sini akhirnya ditemukan lemas awal pagi tadi.
Mangsa, Mud Husni Mahmud, 47, masih berada di dalam kereta berwarna hitam itu selepas Proton Saga tersebut dinaikkan menggunakan kren pada pukul 1.01 pagi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.42 petang semalam.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah kereta dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 12 meter.
“Maklumat awal saksi menyatakan terdapat seorang mangsa yang juga pemandu berada dalam kereta tersebut. Operasi pencarian dijalankan menggunakan bot dan teknik ‘surface searching’,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar dan BBP Skudai melakukan beberapa selaman menggunakan teknik ‘arch pattern’ serta ‘marking and searching’.
“Pada pukul 10.21 malam, pasukan PPDA menemukan kereta itu kira-kira 50 meter dari tebing pada kedalaman 15 meter sebelum kerja-kerja menaikkan kenderaan dijalankan,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi pencarian tamat pada pukul 1.38 pagi.
Seramai 20 anggota termasuk dari BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.-KOSMO! ONLINE