PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila jiran yang dipercayai seorang pempengaruh menganggu ketenteraman dengan siaran langsung di media sosial.
Menerusi hantaran seorang pengguna Threads, pempengaruh tersebut dipercayai membuat siaran langsung di luar rumah sudah ditegur beberapa kali sebelum ini.
“Jiran saya rasanya seorang pempengaruh media sosial. Hampir setiap masa dia membuat siaran langsung, pada waktu pagi, tengah hari, lewat petang, dan waktu malam sehingga sekitar pukul 12 tengah malam.
“Halal atau tidak mencari rezeki sampai mengganggu ketenteraman jiran? Semua jiran sudah menegur, tapi dia pula yang mengamuk,” ujarnya.
Tambahnya, penduduk kawasan kejiranan itu pernah menghantar surat serta laporan polis dilakukan, namun tiada tindakan diambil kepada pempengaruh berkenaan.
Perkongsian itu pantas meraih perhatian ramai pengguna Threads yang rata-ratanya turut mengecam tindakan pempengaruh itu.
“Kalau nak buat siaran langsung pun, fikirkan keharmonian jiran tetangga yang nak kena tunggu 12 tengah malam baru dapat berehat dengan selesa,” kata Siti,
“Buat laporan atas talian sahaja kepada pihak berkuasa tempatan dibawah majlis daerah kerana mengganggu ketenteraman jiran,” komen @Sn_zhrh
“Cadangan saya, ketika pempengaruh itu sedang membuat siaran langsung, tegur sahaja supaya semua penonton turut mendengar. Cakap terus, “Abang, setiap hari buat live bising sangat, satu taman boleh dengar. Anak saya nak tidur, boleh tak perlahan sedikit?” komen @Nanaazami -KOSMO! ONLINE