PUTRAJAYA- Insiden jenayah yang berlaku di kawasan sekolah termasuk kes melibatkan seorang pelajar perempuan maut ditikam hari ini disifatkan harus dijadikan sebagai isyarat ‘wake up call’ kepada seluruh rakyat.
Dalam konteks ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, episod jenayah yang berlaku di sekolah dilihat menterjemahkan satu bentuk kegagalan sistemik (systemic failure) yang perlu ditangani segera.
“Sistem pendidikan sepatutnya mendidik dan melindungi generasi masa depan kini turut terpalit dengan unsur jenayah berat yang mencemarkan nilai kemanusiaan dan moral.
“Oleh itu, inilah masanya untuk kita sebagai masyarakat berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing.
“Ini bukan masa untuk menuding jari atau mencari salah mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya ia masa untuk kita bersatu, mengambil tindakan dan menjadi masyarakat yang benar-benar prihatin serta saling ambil peduli,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Noor Azleen berkata, Kementerian Pendidikan termasuk guru dan kakitangan sekolah mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan pelajar di kawasan sekolah.
“Dalam masa sama, ibu bapa juga perlu lebih peka dan aktif memantau perkembangan anak-anak termasuk peranan dimainkan agensi terlibat bagi memperkukuh keselamatan pelajar.
“Jadi, Pemuda Johor menyeru agar semua pihak mengambil serius perkara ini dan kembali
menjadikan sekolah sebagai kawasan yang benar-benar selamat bukan sahaja daripada segi fizikal, tetapi juga segi moral dan emosi,” katanya.
Selain itu, katanya, Pemuda Johor juga kesal dan sangat kecewa dengan siri tragedi jenayah berat yang berlaku di beberapa buah sekolah dalam negara kebelakangan ini.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa jenayah seberat rogol dan bunuh boleh berlaku dalam kawasan sekolah iaitu tempat yang sepatutnya menjadi zon paling selamat untuk pelajar.
“Kami yakin dengan keupayaan, kecekapan serta profesionalisme pihak polis menjalankan siasatan selain mendesak agar mereka yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE